PULAU PINANG, 21 Dis. – Universiti Sains Malaysia (USM)sekali lagi mendapat perhatian antarabangsa apabila Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sudan mengiktiraf USM secara rasmi sebagai perunding dan melatih kakitangan profesional Sudan bagi menguasai teknologi IPv6 di sana.
Pengiktirafan itu telah membawa kepada pembangunan secara komprehensif buat negara tersebut melalui program latihan iaitu Certified Network Engineer in IPv6 (CNE6) bagi melatih, membimbing dan mengesahkan peserta yang terlibat sebelum layak menerajui bidang teknologi ini di Sudan.
Menurut Prof. Sureswaran Ramadass, Pengarah Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6), Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sudan telah menghantar 9 orang peserta daripada pelbagai bidang profesional untuk menghadiri latihan profesional CNE6 di NAV6 pada Mac lalu.
“Para peserta Sudan yang dihantar ke sini telah berjaya melalui fasa latihan yang kita tetapkan dan juga berjaya melalui latihan khas untuk menjadi tenaga pengajar di sana kelak,” katanya ketika majlis tele-sidang khas dari Sudan sempena majlis penyampaian sijil tamat latihan CNE6 Fasa pertama di IPv6 Authorised Training Centre (ATC) Sudan.
Tambahnya lagi, pihaknya amat berpuas hati dan berbangga pencapaian yang ditunjukkan para peserta negara itu kerana selepas pulang mereka telah menarik perhatian bermula seramai 15 orang peserta hingga kini mencecah 350 orang dalam masa singkat untuk menjalani latihan CNE6.
Pada majlis yang sama, Dr. Izzelden Kamil, Ketua Pengarah Pusat Latihan Negara Sudan yang juga mewakili Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sudan melalui tele-sidang USM-SUDAN berkata, kerajaan Sudan amat menghargai tunjuk ajar yang diberikan dan sedia bekerjasama dengan USM dalam apa jua bidang kepakaran demi pembangunan ICT di Sudan.
“Kita telah mempunyai tenaga pakar yang dilatih oleh pihak USM dan kami di sini telah mengorak langkah untuk membangunkan teknologi ICT di Sudan ke arah lebih maju dan sekaligus membawa era baru buat Sudan dalam dunia komunikasi teknologi maklumat.”
Selain itu, Sureswaran turut memaklumkan bahawa teknologi IPv6 ini telah mendapat perhatian oleh kerajaan India untuk sedia bekerjasama menerima latihan tersebut pada tahun hadapan.
Teknologi IPv6 yang telah dibangunkan oleh NAV6 dibawah Prof. Sureswaran Ramadass sejak tahun 2007 telah mendapat perhatian beberapa negara termasuk China, Singapura, Thailand dan beberapa lagi negara Asean.
Produk inovatif ini yang dinamakan Crystalview HD9100, merupakan teknologi tele-sidang yang berupaya menghubungkan manusia di seluruh dunia melalui perkongsian data dan maklumat tanpa had di samping dapat bersidang secara maya serentak seluruh dunia serta dibawakan dalam bentuk resolusi gambar dan bunyi definisi tinggi (HD).
http://www.usm.my/index.php/en/news-archive/9228-sudan-iktiraf-kepakaran-teknologi-ipv6-usm.html
http://www.usm.my/index.php/en/news-archive/9228-sudan-iktiraf-kepakaran-teknologi-ipv6-usm.html
No comments:
Post a Comment